8/25/10

Jalur Gemilang

Jalur Gemilang adalah nama rasmi yang diberikan kepada bendera Malaysia.

Idea untuk memberikan nama pada bendera diusulkan oleh Dato' Hashim Bin Mat
Idris memandangkan bendera Malaysia pada waktu itu masih belum mempunyai
nama. Cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan pada 11 Julai 1995 beliau telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi mencari
nama yang sesuai untuk Bendera Malaysia. Penyertaan kali ini dihadkan kepada
pihak-pihak tertentu sahaja. Ekoran dari itu, satu mesyuarat untuk menubuhkan
Jawatankuasa Induk telah diadakan pada 24 Ogos 1995, dengan dipengerusikan
oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Jabatan Perdana Menteri. Dalam
mesyuaratnya pada 1 April 1996, jawatankuasa telah memutuskan bahawa
pemilihan nama tidak perlu dipertandingkan, sebaliknya dipilih dari senarai namanama yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa.

Cadangan nama bendera yang dikemukakan perlu mengambilkira kriteria yang ditetapkan iaitu nama bendera hendaklah dalam Bahasa Melayu, bersifat emotif, iaitu yang boleh menggerakkan semangat dan kesetiaan kepada bangsa dan
negara, serta prosa-prosa yang menarik dari zaman lampau yang melambangkan
keperwiraan, kesetiaan dan lain-lain.

Pada 1 Julai 1996, Urus setia telah mengemukakan sebanyak 75 cadangan
nama beserta ulasan-ulasan dengan huraian mengenai nama-nama bendera yang dicadangkan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa untuk pemilihan. Dari jumlah tersebut, tiga nama telah disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Walaubagaimanapun,Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 September 1996, telah menolak ketiga-tiga nama tersebut kerana nama-nama yang dicadangkan itu tidak mempunyai kaitan atau huraian perihal bendera itu sendiri dan bersetuju agar cadangan nama baru dikemukakan.

Susulan dari itu, pihak Urus setia telah menerima sebanyak 28 cadangan nama baru daripada Ahli Jawatankuasa untuk dipertimbangkan. Antara nama-nama yang dicadangkan ialah Rukun, Malaysia Raya, Jalur Citra Nusa, Jalur Padu Nusa, Jogan Nasional, Jalur Satria Negara, Jalur Nusa Gemilang, Jalur Sinar Gemilang, N.U.S.A., Sang Perkasa Wangsa, Mega Sakti, Jalur Gemilang, Saga Merah dan Wirawan Jaya. Dalam mesyuaratnya yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 2 Jun 1997, Ahli Jawatankuasa telah memilih tiga nama mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang untuk dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

Jemaah Menteri akhirnya telah memutuskan untuk memilih Jalur Gemilang sebagai nama baru bagi bendera Malaysia. Nama Jalur Gemilang telah dicadangkan oleh Redzuan Tumin, Pegawai daripada Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti. Jalur Gemilang membawa maksud empat belas jalur merah dan putih yang terdapat pada bendera Malaysia melambangkan empat belas buah negeri yang bergerak selari dan searah untuk mencapai satu wawasan yang sama iaitu kegemilangan. Lambang bulan dan bintang yang terdapat pada bendera ini juga boleh diertikan sebagai lambang gilang gemilang yang sentiasa terpancar menjadi panduan setiap rakyat yang bernaung dibawahnya.

Perisytiharan nama Jalur Gemilang pada Bendera Malaysia telah diadakan pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 malam oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Bendera Malaysia

Bendera Malaysia berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu tetapi telah diubahsuai dengan menambah bilangan jalur dan pecahan bintang dari 11 kepada 14 bagi menunjukkan jumlah negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu
telah melahirkan sebuah gagasan baru iaitu Malaysia pada 16 September 1963.
Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk
melambangkan lahirnya Malaysia pada tarikh tersebut.



Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, jalur-jalur dan bintang pecah masih dikekalkan tanpa adanya sebarang pindaan. Jalur yang ke 14 adalah mewakili Persekutuan bagi menggantikan Singapura. Bilangan 14 pada jalur dan pecahan bintang tersebut kekal hingga ke hari ini.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu


Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1948, dirasakan perlu diadakan sebuah bendera sebagai lambang kepada kewujudan Persekutuan tersebut. Penciptaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diilhamkan melalui satu pertandingan mereka cipta bendera yang dianjurkan di peringkat kebangsaan. Pertandingan ini telah dikelolakan oleh satu Jawatankuasa Khas yang telah ditubuhkan pada bulan Mei 1948 dan dianggotai oleh:
Pengerusi
Sir Alec Newboult (Ketua Setiausaha Negara)

Wakil Sultan
Dato' Abdul Malek bin Yusuf - Menteri Besar Negeri Sembilan
Dato' Mahmud bin Mat - Menteri Besar Pahang

Wakil Menteri-menteri Besar
Dato' Onn Jaafar - Menteri Besar Johor

Wakil Majlis Perundangan Persekatuan
Tunku Yacob Ibni Sultan Abdul Hamid
Encik Zainal Abidin bin Abbas

Wakil Negeri Selat
A.V Atson (Pesuruhjaya Residen Pulau Pinang)
H.H Facer

Wakil Ahli Tidak Rasmi Majlis Perundangan Persekutuan
Mr. Yong Shook Lin

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini telah menerima sebanyak 373 reka bentuk bendera untuk dikemukakan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk dibuat pertimbangan dan pemilihan. Dari jumlah tersebut, hanya tiga rekaan sahaja yang dipilih untuk disenarai pendekkan. Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam 2 bulatan mengelilingi Keris Bersilang, tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru - putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri.

Daripada rekaan-rekaan tersebut, rekaan ketiga oleh Mohamed Bin Hamzah, arkitek Jabatan Kerja Raya Johor telah mendapat pilihan majoriti. Pemilihan bendera ini telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950 setelah dibuat beberapa pindaan. Pada asalnya, bulan sabit dan bintang adalah berwarna putih, tetapi atas cadangan Sultan Kedah dan persetujuan Raja-Raja Melayu yang lain, warna putih itu telah digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja. Akhirnya, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu, seperti yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.



Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera itu telah dikibarkan di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu itu telah dihadiri oleh Sultan Selangor serta wakil-wakil Sultan iaitu Haji Abdul Wahab bin Abdul Aziz (Menteri Besar Perak), Dato' Mahmud bin Mat (Menteri Besar Terengganu), Nik Ahmad Kamil bin Haji Mahmud (Menteri Besar Kelantan), Raja Haji Ahmad bin Raja Endut (Menteri Besar Perlis), Tunku Ismail bin Tunku Yahya (Menteri Besar Kedah) dan Dato' Abdul Malek bin Yusuf (Menteri Besar Negeri SembiIan). Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Sir Henry Gurney (Persuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu) bagi pihak pembesar-pembesar negeri pada jam 9.30 pagi. Bermula dari saat yang bersejarah itulah, Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi
lambang kemegahan serta simbol sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bersatu padu.



Apabila negara mencapai kemerdekaan, sekali lagi upacara rasmi menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan. Tepat jam 12.01 malam 31 Ogos 1957, bertempat di Padang Kelab Selangor, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dengan megahnya bagi menggantikan bendera Union Jack. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Tahir bin Abdul Majid diiringi lagu kebangsaan iaitu lagu Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan kepada umum.
Bendera ini berukuran 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan enam jalur berwarna merah dan lima jalur berwarna putih. Sebelas jalur ini melambangkan perpaduan sebelas buah negeri Persekutuan iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu.


Warna merah, putih dan biru melambangkan negara ini sebuah negara Komanwel.

Bulan dan bintang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu.

Warna kuning di bulan dan bintang melambangkan warna Diraja yang menandakan kedaulatan Sultan-sultan Negeri Tanah Melayu yang juga sebagai Ketua Agama Islam.

Perpaduan dan kerjasama negeri-negeri ini juga disimbolkan oleh bintang pecah sebelas.